
PENGERUSI Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad antara 369 calon kerusi Parlimen yang hilang wang depositi selepas memperoleh undi kurang satu perlapan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau gagal mempertahankan kerusi Langkawi apabila hanya memperoleh sebanyak 4,566 undi daripada keseluruhan 48,123 undi dalam pertandingan membabitkan lima penjuru.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut ikut jejak bapanya hilang deposit selepas gagal mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun apabila sekadar memperoleh 3,144 undi selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Dr Abd Ghani Ahmad.
Nama besar lain termasuk bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Selain nama besar pemimpin dan parti, calon selebriti dan aktivis sosial hilang wang pertaruhan adalah pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan calon Bebas, Abdul Rani Kulup Abdullah.
Sementara itu, jumlah calon paling banyak kehilangan wang deposit dalam satu kawasan adalah Parlimen Batu apabila lapan daripada 10 calon bertanding hilang wang pertaruhan.
Mereka adalah calon Bebas, Siti Zabedah Kasim; Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin; Tian Chua; Too Cheng Huat; Wan Azliana Wan Adnan; Naganathan Pillai; Mohd Zulkifli Abdul Fattah dan Datuk A Kohilan Pillay.
PRU kali ini juga menyaksikan calon PH, Gobind Singh Deo memperoleh jumlah undi tertinggi 142,875 untuk kerusi Parlimen Damansara mengalahkan dua pencabar yang kesemuanya kehilangan wang pertaruhan.
Sementara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Roy Angau Anak Gingkoi menang dengan majoriti terkecil hanya 100 undi apabila mendapat 6,644 undi dalam pertarungan empat penjuru menyaksikan seorang calon hilang deposit.
Bagaimanapun, 369 calon ini tidak melibatkan dua kerusi iaitu Kota Marudu, Sabah yang tidak dapat diumumkan kerana masalah cuaca manakala Baram, Sarawak disebabkan proses pengundian di 11 pusat mengundi digantung ekoran keadaan cuaca tidak baik.
Sementara itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan sebanyak 129 daripada 441 calon yang bertanding dalam tiga pilihan raya negeri iaitu Pahang, Perlis dan Perak hilang wang deposit.
Bagi membolehkan mereka bertanding, calon perlu mempertaruhkan wang deposit sebanyak RM10,000 bagi kerusi Parlimen dan RM5,000 bagi kerusi DUN. – Malaysiapost
