BN perlu asingkan diri daripada soal membentuk kerajaan – Razali Ibrahim

0
2
https://malaysiapost.com.my/wp-admin/post.php?post=111786&action=edit

AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Razali Ibrahim berpendapat Barisan Nasional (BN) perlu mengasingkan diri daripada soal membentuk kerajaan kerana hanya memenangi bilangan kerusi parlimen yang sedikit.

Menurutnya, gabungan parti politik yang mempunyai kerusi yang lebih banyak sewajarnya menentukan pembentukan sebuah kerajaan.

“Selepas keputusan (pilihan raya) keluar terlalu banyak pandangan permintaan dalam menubuhkan kerajaan ini melibatkan BN yang saya rasakan sebagai parti antara yang paling kurang kerusi sepatutnya dapat terus mengasingkan diri.

“Biarlah mereka yang mempunyai kerusi yang lebih banyak menentukan pembentukan sebuah kerajaan,” katanya dalam satu rakaman video dimuatnaik di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, Umno sebalinya perlu terus mendekati akar umbi dengan memberi khidmat tanpa melihat kepada memang atau kalah di sesuatu kawasan.

“Dalam masa sama bagi yang memenangi kerusi di bahagian masing-masing dalam keadaan BN mempunyai jumlah kerusi yang kurang, peranan sebagai semak dan imbang perlulah dimainkan.

“Ia bagi memastikan kerajaan dapat terus berfungsi dan memberi faedah kepada rakyat. Soal siapa yang mampu untuk membentuk kerajaan biarlah mereka yang mempunyai lebih kerusi tetapkan,” katanya.

Sementara itu beliau turut bersetuju dengan pandangan mengatakan bahawa Sarawak menjadi ‘king maker’ dalam menentukan pembentukan kerajaan persekutuan.

“Saya ramai juga kawan di Sarawak dan saya tidak nampak mereka hanya layak menjadi king maker. Pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah berjaya membawa kestabilan yang memberi manfaat kepada negeri tersebut.

“Mungkin parti-parti di Semenanjung boleh meneladani kelebihan yang ada di Sarawak dalam memberikan kestabilan dan akhirnya dapat memberi faedah kepada orang-orang Sarawak

“Ini satu perkara yang mungkin tidak terfikir. Saya tak nampak pimpinan di Sarawak tidak boleh dipertimbangkan sebagai pimpinan besar negara,” katanya.

Beliau yang turut tewas di Parlimen Pagoh, menyeru supaya BN melihat keputusan pilihan raya kali ini dengan memberi lebih keutamaan kepada mesej yang dihantar oleh pengundi. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Razali Ibrahim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here