Zuraida yakin dapat pertahan kerusi Ampang

0
1

CALON Parti Bangsa Malaysia (PBM) Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin tiba di pusat pengundian di Dewan Orang Ramai Taman Dato Ahmad Razali pada pukul 9.28 pagi ini.

Beliau yang juga penyandang kerusi berkenaan untuk tiga penggal selesai melaksanakan tanggungjawab mengundi pada pukul 9.33 pagi.

Katanya, beliau yakin akan kembali mempertahan kerusi panas tersebut yang menjadi rebutan lapan calon lain.

“Saya mengharapkan kemenangan kepada saya. Mesti undi akan pecah tetapi siapa dapat pecahan besar dia akan menang. Saya harap saya dapat pecahan terbesar itu.

“Harap pengundi melihat khidmat saya selama 15 tahun di sini,” katanya.

Zuraida berkata, sentimen memboikot Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seperti yang diuar-uarkan sebelum ini tidak wujud di Parlimen Ampang berdasarkan jumlah penduduk yang keluar pengundi.

“Saya baru balik daripada melawat tiga pusat pengundian dan petanda baik anak muda seawal 7.30 pagi sudah mengundi.

“Di Ukay Perdana dan Lembah Keramat beratur sepanjang 1 kilometer (km) begitu juga di sini,” ujarnya lagi.

Pada PRU14, Zuraida yang ketika itu mewakili PKR menang dengan undi sebanyak 54,307 mengalahkan calon Barisan Nasional, Leong Kim Soon (12,351 undi) dan calon PAS, Nurul Islam Mohamed Yusoff (9,598) sementara Tan Hua Meng daripada Parti Rakyat Malaysia hanya memperoleh 294 undi sekali gus hilang deposit.

Kali ini, Parlimen Ampang menyaksikan pertembungan sembilan penjuru yang mana Zuraida dicabar Rodziah Ismail (Pakatan Harapan), Ivone Low Yi Wen (BN), Shasha Lyna Abdul Latiff (Perikatan Nasional).

Selain Dr Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang), Bryan Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon bebas iaitu Muhammad Shafiq Izwan Mohd. Yunos, Tan Hua Meng dan M. Raveendran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here