TAN Sri Annuar Musa seolah-olah menggambarkan Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 hari ini dan beliau turut meluahkan rasa hati mengenai igauan buruk itu.
Dalam satu hantaran di laman Facebooknya, Ketua Umno Bahagian Ketereh itu juga meminta agar kepimpinan partinya untuk mendengar suara rakyat dengan berundur.
“Akhirnya igauan buruk yang saya gambarkan selama ini dan minta dielakkan benar-benar terjadi. Dukacita teramat sangat.
“AI-Quraan itu benar. Perpecahan menjadikan kamu lemah dan hilang kekuatan. Kami anjurkan muafakat. Kami di label tidak setia. Kami minta jangan berpecah, kami yang menerima padah.
“Kini, kemana kita nak dibawa?…mau menjalin jajaran yang kita tolak? Mahu melanggari keputusan PAU (Perhimpunan Agung Umno) dan parti sekali lagi?” soalnya dalam hantaran itu.
Beliau meminta agar suara rakyat didengari dan fahami kehendak rakyat.
“Undurlah. Cukuplah kebinasaan ini. Dengar suara rakyat. Fahami kehendak rakyat. Jangan sombong,” katanya yang juga Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional. –
Berdasarkan keputusan tidak rasmi PRU-15 setakat ini Pakatan Harapan mendahului dengan 65 kerusi, diikuti Perikatan Nasional dengan 42 kerusi, manakala BN hanya 18 kerusi setakat jam 11 malam ini. – Malaysiapost

