SEMBILAN pusat mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di lima negeri terkesan banjir pada hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pusat mengundi itu terletak di Sarawak, Sabah, Johor, Perak dan Pahang.
Menurutnya, pusat mengundi itu adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Penjong di Pahang, SK Rancangan Belia Sook, Sabah; SK Dato Sarif, SK Telahak dan SK Long Bemang di Sarawak.
Katanya, selebihnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Ibrahim (P), Johor; SK Bota Kiri, Sekolah Kebangsaan Jenis (SKJ) Tamil Changkat Beruas, SKJ Tamil Glouster Changkat Jong di Perak.
“Bomba bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah membantu membawa 299 pengundi menaiki bot,” katanya.
Mengulas mengenai situasi banjir seluruh negara, Mohammad Hamdan berkata, 33 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif di enam negeri iaitu Sarawak, Kelantan, Selangor, Perak, Melaka dan Johor.
Katanya, PPS ini menempatkan 2,765 mangsa terdiri daripada 767 keluarga. – Malaysiapost

