2 maut pacuan empat roda terbabas

0
3

Ben Ibrahim

DUA maut manakala empat lagi cedera selepas kenderaan jenis pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas di Kilometer 200 Kampung Paya Bungor, dekat Gambang, petang tadi.

Pusat gerakan operasi Bomba Pahang menerima laporan kejadian itu jam 3.13 petang.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa yang maut adalah pemandu dan penumpang hadapan kenderaan itu.

“Kedua-dua mangsa tersepit dalam kenderaan yang terbabas sebelum merempuh pokok.

“Mangsa yang cedera adalah dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan,” katanya menerusi kenyataan, petang ini.

Zulfadli berkata, dua jentera bersama tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas terbabit dalam operasi menyelamatkan mangsa.

Katanya, mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu dikeluarkan oleh pegawai dan anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat khas.

“Kedua-dua mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh kakitangan kesihatan.

“Mangsa yang cedera pula dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya lagi.

Siasatan lanjut mengenai kemalangan itu dilakukan pihak polis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here