Terima keputusan PRU15 dengan hati terbuka – PM

0
2

Ben Ibrahim

RAKYAT dinasihat menerima sebarang keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok tanpa mencetuskan sebarang suasana tegang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua pihak perlu menerima pilihan rakyat dengan hati terbuka walaupun bukan memihak kepada parti pilihan mereka.

“Kematangan berpolitik dan keharmonian ditunjukkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen perlu dikekalkan tanpa sebarang provokasi melampau.

“Saya berharap malam esok, apabila keputusan diumumkan semua pihak boleh menerimanya dengan semangat dan kematangan tinggi.

“Terima semua keputusan pilihan raya tanpa menimbulkan sebarang kekecohan.

“Jangan timbul isu seperti dakwaan pengundi dari Bangladesh sehingga menimbulkan kekecohan,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Bandar 32, di Kemayan, hari ini.

Ismail Sabri yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera juga kagum dengan semangat tinggi ditunjukkan semua pihak sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, kehidupan rakyat akan kembali normal selepas PRU15 dan perbezaan politik tidak seharusnya menganggu hubungan silaturahim.

Esok adalah hari penentu kepada lebih 21 juta rakyat Malaysia memilih tampuk pemerintahan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Dengan 222 kerusi dipertaruhkan, empat gabungan utama parti politik tanah air bakal diberi kepercayaan membentuk kerajaan yang lebih stabil pasca PRU15.

Gabungan parti politik berjaya melepasi angka 112 kerusi boleh membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here