Cuaca dikhuatiri jejas peratusan keluar mengundi

0
1
Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh dijangka bermula 24 Oktober ini sehingga Mac tahun depan dengan empat hingga enam episod hujan lebat diramal berlaku dalam tempoh tersebut.

PAS bimbang peratusan keluar mengundi rendah pada Sabtu ini susulan cuaca diramalkan hujan dan ribut petir di beberapa negeri.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun mengharapkan pengundi tetap keluar menunaikan tanggungjawab walaupun dalam keadaan hujan.

“Memang kita akui bimbang peratusan keluar mengundi rendah disebabkan ramalan cuaca hujan.

“Disebabkan itu menerusi siri ceramah yang kita adakan, kita menekankan supaya pengundi keluar mengundi pada waktu pagi.

“Kita berharap peratusan keluar mengundi pada Sabtu ini sekurang-kurangnya mencapai 70 peratus,” katanya di Ceramah Grand Final di Machang, Kelantan semalam.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim yang juga calon PAS Parlimen Kubang Kerian berkata, ‘mood’ sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) sangat tinggi setakat ini.

Katanya, sokongan itu amat mengejutkan PN terutama dalam kalangan anak muda yang mahukan perubahan.

“Saya tidak boleh kata berapa kerusi yang kami akan menang, namun saya boleh katakan mood rakyat kepada PN terutama anak muda sangat tinggi,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, beberapa negeri diramal hujan bermula awal pagi Sabtu, iaitu hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), dengan ribut petir dijangka berlaku seluruh negara pada sebelah petang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Lim Ze Hui berkata antara negeri yang akan mengalami hujan pada awal pagi termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka sehingga ke barat Johor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here