CALON Parti Bangsa Malaysia (PBM) Parlimen Hulu Selangor, Haniza Mohamed Talha yakin boleh menjadikan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan yang utama, jika dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, dari segi kemakmuran ekonomi, Hulu Selangor kini menduduki tempat kedua terendah di negeri itu.
Katanya, perkara tersebut amat dikesali kerana Hulu Selangor mempunyai potensi ekonomi yang besar, terutamanya dalam sektor pelancongan.
“Hulu Selangor mempunyai beberapa tarikan semulajadi yang indah, termasuk air terjun, denai kembara dan perkampungan Orang Asli.
“Ramai pelancong kini mencari tarikan semula jadi berkepadatan rendah selepas wabak Covid-19, dan saya percaya Hulu Selangor boleh menawarkannya, tanpa menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Haniza berkata, satu lagi tarikan pelancong yang boleh di bangunkan di Hulu Selangor ialah Kuala Kubu Bharu.
Ujarnya, Kuala Kubu Bharu ialah bandar terancang pertama di negara ini dan mempunyai banyak tapak bersejarah dan warisan.
“Disebabkan Hulu Selangor terletak berdekatan dengan Lembah Klang, sebagai langkap permulaan, saya bercadang untuk menarik warga kota ke sana untuk rehat dan riadah (R&R), terutamanya pada hujung minggu.
“Berdasarkan maklum balas awal, ramai penduduk di Lembah Klang berminat untuk melawat Hulu Selangor untuk aktiviti santai. Saya juga merancang untuk menarik pelancong antarabangsa ke sana sebagai langkah susulan,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata untuk mencapai matlamat itu, Hulu Selangor memerlukan pelaburan yang besar untuk menaik taraf infrastruktur pelancongan serta untuk promosi.
Dalam hal itu, jika dipilih sebagai Ahli Parlimen beliau akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Selangor, pihak berkuasa tempatan serta sektor swasta seperti Think City untuk mendapatkan dana.
Dalam masa sama, katanya ledakan aktiviti pelancongan di Hulu Selangor pastinya membawa kesan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
“Ini termasuk dalam bentuk peningkatan hasil dalam sektor seperti makan dan minum (F&B), pengangkutan dan inap desa.
“Jika terlaksana kelak, saya yakin Hulu Selangor akan menjadi antara kawasan yang paling maju di Selangor.
“Sekali lagi saya merayu kepada pengundi Hulu Selangor supaya mengundi saya supaya saya dapat menjadikan wawasan ini satu realiti,” katanya. – Malaysiapost

