BERIKUTAN kematian calon Pakatan Harapan (PH) M.Karupaiya bagi Parlimen Padang Serai, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 18 November ini.
Setiausaha SPR Datuk Indera Ikmalruddin Ishak berkata, pihaknya telah menerima writ pilihan raya yang dipulangkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan menyatakan fakta berkaitan kematian calon yang dinyatakan di atas.
“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 18 November 2022 (Jumaat) bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting untuk urusan PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai. Satu Kenyataan Media akan dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, SPR mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Karupaiya yang juga penyandang kerusi Parlimen Padang Serai, meninggal dunia hari ini.
“Semoga keluarga mendiang tabah menghadapi kehilangan orang yang tersayang,” katanya.
Karupaiya disahkan meninggal dunia di Hospital Kulim, jam 2.27 petang tadi akibat serangan jantung. -Malaysiapost

