Ben Ibrahim
MENYEDIAKAN kemudahan asas peniaga pasar malam antara aspirasi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching, Fauziah Abdul Wahab.
Antara kemudahan asas akan disediakan termasuklah tandas untuk kegunaan peniaga Pasar Malam Taman Tas, dekat Kuantan.
“Ketika saya melakukan kunjungan ke pasar malam itu, seorang peniaga menyatakan mereka begitu inginkan tandas untuk kegunaan peniaga.
“Peniaga Pasar Malam Taman Tas menghadapi masalah kerana kemudahan tandas tidak disediakan pihak berkaitan,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di pasar malam berkenaan.
Fauziah berkata, jika menang di DUN Panching dalam PRU15, usaha membela nasib peniaga pasar malam akan diberi keutamaan.
Katanya, hanya kerajaan BN boleh membela nasib peniaga pasar malam yang kini mula bangkit selepas tidak dapat berniaga ketika wabak Covid-19 menyerang negara lebih dua tahun.
Untuk PRU15, Fauziah akan bertembung dengan penyandang kerusi itu, Mohd Tarmizi Yahya (PAS), Haslindalina Hashim (PH) dan Afif Syairol Abdul Rahim daripada Pejuang.
Dalam pilihan raya umum lalu, kerusi itu dimenangi Mohd Tarmizi menewaskan Mohd Zaili Besar (BN) dengan majoriti 135 undi. – Malaysiapost

