Zul Huzaimy akan disiasat

0
1

PELAKON Zul Huzaimy akan disiasat polis berhubung kenyataan berbaur perkauman pada satu program di Kemaman, Terengganu, pada 4 November lalu.

Perkara itu disahkan Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin yang memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kenyataan pelakon berkenaan.

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka dan ia dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 506, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular rakaman video ceramah pelakon itu di atas pentas dikaitkan dengan PAS, mengandungi kenyataan kontroversi berbaur perkauman.

Susulan itu, Zul Huzaimy menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, memohon maaf atas ucapan itu yang didakwanya disalah anggap dan meminta semua pihak menonton secara penuh bagi memahami maksud yang sebenar.

Kenyataan pelakon itu juga mendapat reaksi Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengatakan kenyataan Zul Huzaimy tidak mewakili parti itu.

“Dia bukan pemimpin dan bukan ahli PAS pun, kalau dia nak sabotaj dengan pergi program kita dan cakap sebegitu, mana boleh menyalahkan PAS..tidak boleh.

“Dia bukan (mewakili PAS), saya pun tidak berani bercakap bagi pihak PAS, yang boleh bercakap hanya Presiden dan Setiausaha Agung PAS,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here