BERSATU adalah sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) yang melakukan ‘dosa’ kepada rakyat Malaysia sehingga berjaya menumbangkan kerajaan yang baik dipimpin Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum lalu.
Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan rakyat Malaysia bahawa Bersatu turut terlibat dalam merangka manifesto PH yang akhirnya tidak dapat ditunaikan dan dianggap bukan ‘kitab suci’.
“Jangan lupa bahawa Bersatu juga sebahagian dari PH. Dia juga yang merangka manifesto yang tidak ditepati.
“Tapi jangan ingat orang lupa, dia lupa sebab Bersatu dah keluar dari PH. Mereka juga terlibat. Mereka juga yang menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang memimpin negara selama 60 tahun dengan baik, dengan cemerlang tetapi jatuh kerana hasutan, janji dan fitnah,” katanya pada sidang media, hari ini.
Timbalan Pengerusi BN itu turut membidas lagak suci Bersatu yang kini bersama Perikatan Nasional (PN) ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
“Bersatu jangan ingat dia tak ada dosa, orang mesti ingat tu dia adalah sebahagian daripada Pakatan Harapan, dan sekarang dia masuk PN, fuh dia macam tak ada apa-apa lah, macam suci lah dia bercakap.
“Padahal dia lah sama-sama dengan PH dulu dan orang jangan lupa,” katanya. -Malaysiapost

