KEBAKARAN yang berlaku di Kampung Paya Keladi Hujung menyebabkan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mahu pulang ke rumahnya, bergegas ke tempat kejadian.
Beliau yang merupakan penyandang dan calon bagi Parlimen Kepala Batas baharu sahaja melancarkan Ikrar Aku Janji Demi Kepala Batas malam tadi, terus ke lokasi kejadian sebaik sahaja dimaklumkan kebakaran tersebut.
“Allahuakbar, selesai Pelancaran Ikrar Aku Janji Demi Kepala Batas malam tadi, ketika sudah pun pulang ke rumah, saya dimaklumkan berlakunya kejadian kebakaran melibatkan sebuah kediaman di Paya Keladi Hujung.
“Saya terus ke lokasi kejadian bagi melihat sendiri keadaan sebenar dan amat dukacita apabila difahamkan kebakaran yang berlaku telah meragut nyawa seorang warga emas, Hashim Muhd Ali.
“Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas ujian berat yang perlu mereka tempuhi ini.
“Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga roh arwah ditempatkan di kalangan mereka yang beriman,” katanya di Facebook.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 11.44 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kami dapati terdapat sebuah rumah terlibat dalam kebakaran itu.
“Anggaran peratusan kemusnahan akibat kebakaran itu pula adalah sebanyak 60 peratus,” katanya.
Beliau berkata, operasi memadam kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira jam 12.19 tengah malam tadi.
Difahamkan, mangsa yang berusia 70 tahun tinggal seorang diri ketika kejadian dan dan terperangkap ketika api marak hingga gagal menyelamatkan diri. – Malaysiapost

