SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 11 maklumat dan aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata jumlah itu diterima menerusi bilik gerakan di seluruh negara sejak ia dibuka bermula hari penamaan calon pada 5 November lalu.
Beliau berkata, pihaknya akan meneliti dan mengkaji terlebih dahulu sebelum diambil tindakan di bawah akta SPRM.
“Setakat ini lebih kurang 11 maklumat dan aduan yang diterima oleh bilik gerakan di seluruh negara sejak hari penamaan calon.
“Ada laporan yang dibuat secara bersemuka, ‘pick up’ dari media dan sebagainya jadi mana-mana maklumat yang diterima dalam saluran yang betul, kita akan ambil maklum dulu sebelum kita kaji,” katanya, hari ini.
Azam berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya aduan dan maklumat yang diterima berasas.
“Bukan semua (disiasat) kerana kadang-kadang maklumat ini hanya cakap-cakap sahaja,” katanya.
Sebelum ini, SPRM memkalumkan membuka Bilik Gerakan PRU15 di seluruh negara bagi memudahkan aduan serta penyaluran maklumat orang ramai berhubung perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh berkempen.
SPRM dalam kenyataan sama, memaklumkan kesemua bilik gerakan itu akan beroperasi sepanjang hari bermula hari ini hingga hari pengundian pada 19 November.
“SPRM mengingatkan semua calon dan parti politik supaya tidak melakukan sebarang kegiatan melanggar undang-undang serta peraturan pilihan raya selaras Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012),” katanya. – Malaysiapost

