Kerajaan komited bangunkan e-Sukan – Ismail Sabri

0
1

USAHA kerajaan dalam membangunkan e-Sukan dapat dilihat melalui pelbagai inisiatif termasuk jumlah peruntukan sebanyak RM13 juta dalam Bajet 2023 yang dibentangkan Oktober lalu untuk sukan berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, e-Sukan tidak asing lagi dalam kalangan belia dan tanggapan masyarakat juga sudah berubah terhadap aktiviti itu yang kini sudah mampu menjadi kerjaya dan menjana pendapatan belia.

“Industri e-Sukan dunia juga sedang giat berkembang dan ia dijangka mampu menjana pendapatan sehingga RM7.56 bilion pada 2024,” ucapnya ketika Merasmikan Karnival Keluarga Malaysia Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.

Menurutnya, e-Sukan semakin mendapat tempat di negara ini, malah penyertaan belia dalam sukan ini menunjukkan kecemerlangan dari semasa ke semasa.

“Saya dimaklumkan juara Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY musim ke-10, Team Haq Esports Club yang menduduki ranking keempat dunia, juga hadir untuk memeriahkan karnival pada hari ini.

“Pasukan ini juga akan mewakili Malaysia di Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M4 pada tahun hadapan di Jakarta, Indonesia” katanya.

Sementara itu, beliau turut berharap Karnival Keluarga Malaysia Anak Muda Gegor Bera dapat dijadikan acara tahunan kerana memberikan manfaat besar kepada orang ramai.

Katanya, karnival itu menjadi platform kepada belia khususnya di Bera untuk menerokai peluang pekerjaan dan meningkatkan sosio-ekonomi mereka.

“Saya ingin menzahirkan ucapan penghargaan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Human Resources Development Corporation (HRDCorp) dan Miat Quadra E-Sport Club di atas kejayaan menganjurkan acara yang menghimpunkan anak muda dari Parlimen Bera dan kawasan sekitarnya.

“Tahniah kepada penganjur kerana mengetengahkan e-sukan yang kini sudah menjadi trend dalam kalangan belia termasuk di daerah Bera,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here