Kerajaan fokus tingkatkan ekonomi belia – Ismail Sabri

0
1

INISIATIF JaminKerja Keluarga Malaysia adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi lebih mampan terutama bagi golongan belia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia juga sentiasa memastikan kebajikan pekerja dan majikan termasuk mereka yang terbabit dalam ekonomi baharu seperti Gig yang kini sumber alternatif bagi menjana pendapatan.

“Program kemahiran semula dan penjanaan pendapatan juga diperkenalkan untuk mereka yang kehilangan pekerjaan, apabila syarikat yang menjadi tempat mereka bekerja terpaksa mengurangkan operasi atau ditutup.

“Menerusi Sistem Insurans Pekerjaan ditawarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) seramai 188,526 Keluarga Malaysia menerima manfaat faedah kewangan berjumlah RM1 bilion bagi membantu mereka yang terkesan meneruskan kehidupan harian,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Keluarga Malaysia Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera, hari ini.

Menurutnya, sehingga 28 Oktober lalu sebanyak 65,774 permohonan kerja diterima membabitkan 8,513 majikan.

“Kajian Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan dan Dasar Keluarga Malaysia yang dilaksanakan Ilham Centre mendapati 82.5 peratus rakyat mahu program JaminKerja diteruskan di masa hadapan.

“Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) turut memperkenalkan Pusat Penempatan HRD Corp yang menjadi portal sehenti pemadanan latihan kemahiran serta kaunseling dan bimbingan kerjaya kepada 60,000 penempatan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, golongan beliau juga diperuntukkan pelbagai insentif dalam Bajet 2023 yang sudah dibentangkan seperti RM305 juta yang disediakan untuk pinjaman khas kepada golongan belia, Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia membabitkan dana sebanyak RM50 juta dan banyak lagi.

“Jadi fokus utama kita lebih kepada ekonomi (belia) dan seterusnya sektor lain seperti sukan dan sebagainya. Banyak yang direncanakan kerajaan untuk golongan belia melalui Bajet 2023 ini.

“Tetapi yang penting Bajet 2023 itu perlu dibentangkan sekali lagi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here