SPRM siasat kekayaan Rafizi

0
2

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta yang dilakukan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Ia susulan satu laporan dibuat oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung pengisytiharan harta oleh calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pandan berkenaan, baru-baru ini.

Menurut sumber, SPRM akan mengkaji perkara itu dan siasatan akan dijalankan mengikut aspek-aspek tertentu yang masih dalam penelitian.

Semalam, Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara menggesa SPRM menyiasat harta lebih RM18 juta yang diisytiharkan dimiliki Rafizi.

Presidennya, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, beliau mempersoalkan deklarasi aset Timbalan Presiden PKR itu dengan RM16 juta diperoleh melalui pegangan saham dalam syarikat yang diasaskannya sendiri.

Katanya, beliau ‘tabik’ kepada Rafizi kerana mengisytiharkan harta, namun SPRM perlu menyiasat dana yang masuk ke dalam Invoke Solutions Sdn Bhd sedangkan syarikat itu hanya dua kali untung dan berhadapan tiga kali rugi sejak ditubuhkan pada 2016.

Sebelum ini, Rafizi memuat naik video di platform TikTok untuk memperincikan bagaimana syarikat pemula atau startup yang diasaskannya, Invoke berjaya mencatatkan keuntungan sejak 2020.

Rafizi menjelaskan, keuntungan Invoke mengikut tahun bagi tahun kewangan 2020 ialah RM507,000, manakala tahun kewangan 2021 (RM653,000) dan jangkaan keuntungan tahun kewangan 2022 (RM1.5 juta). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here