KHAIRY Jamaluddin menggariskan empat teras utama bagi manifesto beliau di Sungai Buloh iaitu Sejahtera Sungai Buloh, Digital Sungai Buloh, Sihat Sungai Buloh dan Lestari Sungai Buloh.
Manifesto yang diberi nama Kata Janji Sungai Buloh bertemakan Kita Jaga Sungai Buloh, Kita Jaya Malaysia diumumkan menerusi video yang dimuat naik calon Barisan Nasional (BN) itu di laman sosialnya, hari ini.
Khairy berkata, Kata Janji Sungai Buloh digarap berdasarkan pengalamannya menerajui beberapa kementerian sebelum ini, selain menjadi Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal.
Menteri Kesihatan itu menjanjikan 20 perkara di bawah teras pertama, Sejahtera Sungai Buloh.
Antaranya, mewujudkan dua Pusat Khidmat Ahli Parlimen iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras dan di Kota Damansara; memperkukuh program bantuan kebajikan menerusi kerjasama badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).
Seperti yang diumumkan sebelum ini, Khairy juga berjanji untuk melaksanakan projek mitigasi banjir dengan menaik taraf sistem saliran dan mendalamkan sistem perparitan di kawasan yang sering dinaiki banjir.
“Pusat Komuniti Sungai Buloh saya mahu diadakan Sensory centre untuk golongan kurang upaya; Perpustakaan Komuniti, Pusat Aktiviti Warga Emas dan Program internship untuk pelajar OKU,” katanya.
Teras kedua pula, Khairy menyenaraikan 13 perkara antaranya mewujudkan Ruang Reka STIE di kawasan Sungai Buloh iaitu program pembudayaan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi bagi membangunkan prototaip produk inovasi.
Beliau juga ingin menjadikan Sungai Buloh sebagai hab National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) bagi tujuan pengujian dan pengkomersialan hasil NTIS.
Selain itu, beliau mahu menganjurkan Program pertandingan dan pembangunan bakat e-Sports serta membangunkan platform digital sehenti bagi produk keluaran/jualan komuniti Sungai Buloh.
Khairy turut berjanji untuk memperkasakan peranan masjid melalui infak tanpa tunai dan food bank serta menyantuni golongan yang memerlukan.
Beliau turut berjanji untuk mengadakan program pengajian al-Quran secara atas talian bersama guru agama bertauliah.
Selain daripada itu, Khairy berhasrat untuk melaksanakan projek naik taraf infrastruktur dan tambah baik kelengkapan peralatan di fasiliti kesihatan kerajaan di Sungai Buloh.
Di bawah teras Lestari Sungai Buloh, beliau mahu menjayakan program Kesedaran Persediaan Bencana – penyediaan kit bencana, SOP dan Pusat Pengurusan Bencana dan mewujudkan konsep Gardens by Sungai Buloh.- Malaysiapost

