JPS keluar notis siap siaga kemungkinan banjir di Pantai Timur

0
2

JABATAN Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir di Terengganu dan Pahang, sekiranya hujan berterusan di lembangan Sungai Besut dan Sungai Rompin.

JPS dalam kenyataan tengah malam tadi, memaklumkan ia berdasarkan hasil simulasi model ramalan banjir jabatan itu susulan Amaran Hujan Berterusan (Buruk) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada jam 2.10 petang semalam.

Menurut JPS, terdapat risiko berlakunya banjir mulai jam 1 pagi hari ini di kawasan sekitar Sekolah Kebangsaan Seri Payung di daerah Besut, Terengganu dan jam 5 petang di kawasan sekitar Kampung Buluh Nipis di daerah Rompin, Pahang.

Terdahulu, notis sama turut dikeluarkan melibatkan daerah Besut di Kampung La, Kampung Seberang La, Kampung Pengkalan Nangka dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bukit Puteri.

Manakala daerah Setiu di Kampung Nyatoh dan Kampung Che Mohid, yang dijangka mengalami banjir pada jam 5, hari ini.

Ramalan sama turut dijangka berlaku pada jam 7 pagi hari ini di daerah Rompin, Pahang melibatkan Sungai Anak Endau di Rumah Pam Setajam.

Kelantan pula melibatkan daerah Pasir Mas di Kampung Kubang Rambutan, Kampung Bagus, Kampung Degung dan Kampung Telaga Mas yang dijangka berlaku banjir pada jam 2 petang.

JPS memaklumkan notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut.

“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here