CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz optimis mampu mempertahankan Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Menteri Pertahanan itu berkata, ia berdasarkan maklum balas yang diterima daripada jentera parti selain sambutan memberangsangkan setiap kali turun padang.
Justeru, beliau berharap sokongan rakyat sepanjang tempoh berkempen ini dapat diterjemahkan pada 19 November ini.
“Niat saya tiada lain melainkan meninggalkan legasi terbaik di Tanah Merah di mana saya dilihat sudah berjaya membawa kemajuan dan pembangunan di Tanah Merah.
“Kita mahu rakyat di Tanah Merah mendapat kehidupan lebih baik dan sekiranya terus diberi mandat, saya akan melakukan dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui semasa melawat Pasar Tani Tanah Merah hari ini.

Ikmal Hisham bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu ‘over confident’ atau mengambil mudah walaupun sokongan rakyat kelihatan memihak kepadanya.
“Ini kerana saya tahu hari ini mungkin ok, esok belum tentu lagi. Oleh itu saya perlu pastikan momentum yang ada pada hari ini akan berterusan sehingga hari pengundian.
“Di sini, saya menyeru kepada penduduk Tanah Merah supaya menyokong saya pada 19 November nanti dan semua pengundi turun menunaikan tanggungjawab,” katanya. – Malaysiapost

