Disifatkan permata berharga, Mat Sabu ajak rakyat tabalkan Anwar sebagai PM

0
2

PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu meminta rakyat menyokong Pakatan Harapan (PH), seterusnya mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Sambil menyifatkan Anwar sebagai permata berharga, Mohamad juga mengingatkan rakyat agar rasional dan tidak ‘termakan’ sentimen murahan serta fitnah terhadap PH.

“Pemimpin yang dikenal dunia. diberi pengiktirafan dan dimanfaatkan pengalamannya oleh badan dunia dan umat Islam yang lain.

“Almarhum Dr Yusuf Al-Qardhawi mendoakan dia (Anwar), begitu juga pemimpin umat Islam yang lain. Kenapa kita nak bazirkan permata yang berharga ini?

“Adakah sebab kita kalah dengan sentimen murahan dan fitnah sehingga butakan pemikiran kita yang rasional?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Bekas Menteri Pertahanan itu juga mengajak rakyat membuat keputusan betul yang akan menjadi sejarah penting untuk menyelamatkan negara.

“Ekonomi kita sedang runtuh, ringgit semakin susut, sikit lagi harga barang yang sedia mahal akan lebih mahal, pelabur lari, ramai kena buang kerja bila operasi tutup, kadar jenayah akan naik, krisis rumahtangga bercambah.

“Undi Harapan, Tabal Anwar, Selamatkan Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here