Undi PH, BN masuk neraka, Ketua Pemuda PAS mohon maaf

0
1

RAKAMAN seorang lelaki dipercayai pemimpin PAS di bahagian Sik, Kedah mendapat perhatian selepas mendakwa individu yang tidak mengundi Perikatan Nasional (PN), akan masuk api neraka.

Video berdurasi 15 saat tersebut tular di laman Twitter memaparkan Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir berucap di ceramah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Ingat pesan saya kepada semua pengundi di Sik yang nak mengundi ni, balik pangkah Perikatan Nasional (PN). Siapa yang pangkah BN (Barisan Nasional) dan PH Pakatan Harapan (PH), masuk api neraka,” katanya.

Rata-rata pengguna media sosial mempersoal kenyataan Mohd Shahiful itu yang menyalahgunakan agama bagi tujuan politik.

Tampil meredakan keadaan, Mohd Shahiful menerusi hantaran Facebook Pemuda PAS Sik tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik kembali kenyataan tersebut.

Katanya, beliau menyedari kekhilafannya dan meminta orang ramai untuk menghentikan segala bentuk penyebaran video ketika sesi ceramahnya semalam.

Dalam pada itu, beliau kemudian akui syurga dan neraka bukanlah ditentukan berdasarkan sokongan kepada parti, tetapi melibatkan perbuatan baik atau buruk yang dilakukan seseorang.

“Saya ingin memohon kemaafan kepada semua pihak yang telah tersinggung dengan ucapan saya yang telah tular hari ini.

“Berkenaan syurga dan neraka ini bukanlah dipertentukan hanya kepada penyokong Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, tapi dia melibatkan secara umumnya melakukan kebaikan atau pun kejahatan.

“Sekali lagi saya ingin memohon maaf kepada semua di atas kekhilafan ucapan yang telah saya sampaikan. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita semua,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here