BKM antara ‘trade-mark’ bantuan kepada rakyat oleh kerajaan Keluarga Malaysia

0
2

Nurul Huda Abhar

BANTUAN Keluarga Malaysia (BKM) adalah sebahagian daripada kesinambungan usaha baik pemberian bantuan oleh kerajaan Malaysia untuk rakyat sejak sekian lama.

Pensyarah Kanan Ilmu Politik, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Zaini Othman, berkata dalam konteks sosio-ekonomi negara, inisiatif BKM adalah salah satu ‘trade-mark’ bantuan kepada rakyat oleh kerajaan Keluarga Malaysia.

“Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) umpamanya adalah inisiatif yang sama konsepnya dengan BKM,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost, hari ini.

Dr Zaini berkata, BKM adalah salah satu dasar pembangunan sosio-ekonomi Malaysia menerusi elemen bantuan kelangsungan sara hidup untuk rakyat.

“Justeru BKM bagi saya adalah sebahagian penerusan amalan bantuan (sama ada secara langsung atau tidak langsung) oleh kerajaan Malaysia,” ujarnya lagi.

BKM merupakan inisiatif bantuan tunai secara langsung tertinggi dalam sejarah.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon telah memperuntukkan RM11.7 bilion untuk bantuan kebajikan masyarakat termasuk BKM.

Selain itu, bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, kerajaan telah menyalurkan subsidi sebanyak RM80 bilion, termasuk pemberian subsidi untuk petrol, diesel, Gas Petroleum Cecair (LPG), minyak masak, tepung dan elektrik sebanyak RM 51 billion pada tahun ini.

Sementara itu, mengenai penambahbaikan BKM, Zaini berpendapat kerajaan boleh meneliti bantuan secara kredit bersasar kepada rakyat.

“Bagi saya kerajaan boleh mempertimbangkan BKM daripada bantuan berbentuk wang kepada kredit bersasar dalam bentuk ‘group tag’, iaitu barangan rugi bagi kumpulan berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here