MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, mengarahkan semua pihak dan agensi meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi memastikan tiada mangsa banjir yang terjejas serta tidak dibantu.
Amirudin berkata, beliau sudah mendengar laporan terperinci khususnya pasca musibah banjir kilat yang berlaku di Klang, malam tadi.
“Semua agensi telah melaporkan tindakan, langkah yang diambil serta persediaan proaktif untuk menghadapi segala kemungkinan.
“Mesej saya jelas, supaya tingkatkan tahap kesiapsiagaan supaya tidak ada mangsa yang terjejas dan tidak dibantu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau juga berkata, operasi pasca bencana juga harus disusun pada kadar segera supaya impak banjir tidak membebankan mangsa sepenuhnya.
“Alhamdulillah persediaan di semua daerah kekal berada di tahap terbaik meskipun kalangan penjawat awam ini juga bertanggungjawab menguruskan perjalanan pilihan raya di kawasan Parlimen seluruh Selangor.
“Di hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita panjatkan doa moga Allah mempermudahkan urusan kita bersama serta melindungi rakyat dan Selangor,” katanya.
Semalam, seramai 211 mangsa banjir daripada 49 keluarga ditempatkan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia, SK Sungai Binjai dan Masjid Al Falah Kampung Budiman setakat jam 10 malam tadi.
Terdahulu, beberapa kawasan di Klang dan Shah Alam dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat serta parit yang tersumbat, lewat petang semalam.
Antara kawasan yang terjejas ialah Jalan Meru 3; Persiaran Hamzah Alang; Jalan Kasban; Jalan Kenangan; Taman Daya; Jalan Khamis; Jalan Jabar; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru dan Taman Setia Warisan Seksyen U6.
Beberapa kawasan lain turut dinaiki air antaranya, Jalan Haji Abdul Manan, Taman Seri Puteri, dan Jalan Limau di Meru; Taman Seri Sementa; Klang Sentral; Sungai Kapar Indah; Persiaran Hamzah Alang Kapar dan Bandar Puteri Klang.
Turut dinaiki adalah Persiaran Mokhtar Dahari berdekatan Alam Budiman, Seksyen U10. – Malaysiapost

