PULAU PINANG mengisytiharkan cuti khas pada 18 November ini, sehari sebelum pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow, berkata hari cuti itu akan memberikan masa dan kemudahan kepada rakyat menjelang hari mengundi, 19 November ini.
“Bersempena PRU15 yang akan diadakan pada 19 November ini, kerajaan negeri bersetuju untuk mengisytiharkan cuti khas negeri pada 18 November iaitu pada Jumaat.
“Cuti khas negeri ini adalah untuk memberikan kemudahan dan juga sebagai galakan kepada rakyat Pulau Pinang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Kerajaan Negeri Sembilan dan Selangor mengumumkan cuti umum pada hari sama untuk menggalakkan rakyat negeri berkenaan membuat persiapan dan mengundi pada 19 November ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 15 November dan hari mengundi 19 November ini. – Malaysiapost

