Pembangkang ‘alergik’ sebut perkataan manifesto – Zahid

0
1

PEMBANGKANG sangat terdesak sehingga terpaksa menyerang peribadi calon Barisan Nasional (BN) di sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangkang ketandusan modal untuk dijadikan naratif yang boleh melemahkan BN sehinggakan tidak ‘bercerita’ mengenai manifesto parti masing-masing kepada rakyat.

“Berdasarkan kempen yang sedang berlangsung ini saya dapati musuh lawan BN ketandusan isu dan modal untuk dijadikan naratif besar mereka.

“Musuh BN hanya mampu lebih cenderung menyerang peribadi berbanding berbincang tawaran dan pencapaian mereka,” katanya di Facebook, hari ini.

Malah, Ahmad Zahid turut menyindir, pembangkang yang begitu ‘alergik’ untuk menyebut perkataan manifesto dalam kempen mereka kerana ianya telah menghantui mereka sejak PRU14 yang lalu.

“Pada masa yang sama, musuh BN tidak berani menggunakan menyebut perkataan manifesto dalam kempen seharian.

Musuh BN terlalu takut kerana manifesto mereka sudah diakui sekutu mereka sendiri dianggap bukan kitab suci dan boleh dimungkiri sesuka hati.

“Mereka tahu manifesto mereka sendiri tak berani mereka jadikan naratif utama kerana banyak kelemahan dan tidak realistik untuk dilaksanakan,” katanya.

Ahmad Zahid yang bertanding di Parlimen Bagan Datuk berkata, rakyat telah dapat menilai janji-janji yang ditaburkan dalam manifesto pembangkang yang tidak realistik.

“Mereka tahu peluang mereka tipis untuk menang maka mereka berjanji dan bermanifesto apa-apa sahaja asalkan nampak bagus tetapi populis.

“Mereka umum berbilion-bilion namun tidak menyatakan sumber dari mana sumber diperoleh dan kaedah mekanisme bagi meningkatkan sumber pendapatan negara.

“Rakyat apabila disebut perkataan manifesto PH secara automatik rakyat akan menolak janji PH termasuk parti Bersatu yang kini bersembunyi di bawah Perikatan Nasional.

“Kini mereka menabur lagi kebanyakan janji-janji tidak realistik untuk mempengaruhi pengundi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here