ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin turun padang menyantuni penduduk Felda Tembangau Dua, Bera bagi memberi sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkempen.
Walaupun tanpa ditemani Perdana Menteri, Muhaini selesa bertemu tetamu yang hadir pada Program Kenduri Rakyat. Beliau secara santai dan bersahaja bertanya khabar dan mengingatkan hadirin untuk keluar menunaikan kewajipan mengundi pada 19 November ini.

Muhaini juga turut berterima kasih kepada penduduk di kawasan berkenaan kerana telah memberikan sokongan yang kuat kepada Ismail Sabri, sejak suaminya mula menjadi Ahli Parlimen Bera pada tahun 2004.
Turut berada di program itu ialah Nasrah Mohd Yusof, isteri calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan Khaizunizam Mohamad Zuldin.

Pada PRU15, Ismail Sabri selaku penyandang kerusi Parlimen Bera dicabar calon Pakatan Harapan (PH) Abas Awang dan Datuk Asmawi Harun (Perikatan Nasional).- Malaysiapost

