KJ ada ciri pemimpin Malaysia – Tajuddin

0
2
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

BEKAS Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman antara pemimpin Umno yang turut melihat kewibawaan Khairy Jamaluddin sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia satu masa nanti.

Tajuddin yang juga bekas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, berkata sebab itu beliau turut sama memberi sokongan untuk Menteri Kesihatan itu untuk merebut kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

“Bagi saya Khairy adalah Perdana Menteri Malaysia akan datang selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Jadi kita nak lihat dia menang (di Sungai Buloh) supaya kita dapat lihat dia sebagai pemimpin Malaysia yang hebat.

“Dia mempunyai segala ciri-ciri termasuk sifat, pengetahuan, sikap dan penampilannya serta cara dia berfikir menepati untuk menjadi seorang pemimpin.

“(KJ) untuk memimpin Malaysia…pemimpin Malaysia yang datang dari Umno. Pemimpin Umno sahaja tidak cukup..Bila dah jadi pemimpin Malaysia, kelak sampai ke peringkat global pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir memberi sokongan kepada Khairy di Program Dialog Kepimpinan Masyarakat Setempat bagi kempen calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh itu di Restoran Chenmak, Pinggiran Subang malam tadi.

Sementara itu, ditanya mengenai kawasan Pasir Salak yang tidak akan dipertahankannya kali ini, Tajuddin yakin calon penggantinya Datuk Khairul Azwan Harun mampu mencapai kemenangan.

“Saya sudah 20 tahun membentuk akar umbi di sana (Pasir Salak) dan juga rakyatnya. Kita sayang kepada Umno dan BN, sayang kepada orang Melayu bangsa kita sendiri.

“Itulah sebab dulu saya buat Muafakat Nasional (MN), penyatuan ummah semua itu. Saya dah buat dan Melayu sudah bersatu, walaupun sekarang ini tidak boleh bersama dalam pilihan raya, tetapi di hati masih lagi ada MN,” katanya. – Malaysiapsot

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here