Khalid digesa buktikan PH lulus pampasan tanah Kampung Baru

0
2

CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggesa Khalid Abdul Samad mendedahkan butiran mesyuarat Jemaah Menteri tentang pengambilan 230 ekar tanah di Kampung Baru pada harga RM1,000 sekaki persegi ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Johari berkata, pengesahan dari Khalid selaku bekas Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu penting bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai terutama penduduk Kampung Baru berhubung isu berkenaan.

“Betulkah jemaah menteri dah luluskan tentang tawaran tanah Kampung Baru RM1,000 ini? Tahun bila ia dibentangkan? Kalau ada jemaah menteri dah luluskan, saya nak dapatkan pengesahan dari kerajaan.

“Benarkah Khalid sudah tawarkan kepada orang Kampung Baru dengan tawaran RM1,000? Kalau dah lulus, kerajaan sudah kena beli. Saya difahamkan ada orang setuju nak jual RM1,000, tetapi dia tidak mahu beli.

“Dia nak semua orang setuju, baru dia nak beli. Ini tawaran temberang,” katanya pada pemberita selepas membuat kunjungan di Kampung Pandan, hari ini.

Johari yang juga bekas Menteri Kewangan II berkata, sekiranya jemaah menteri telah meluluskan pembelian tanah itu bermakna kerajaan sudah bersedia untuk membelinya.

Menurutnya, Khalid berdolak dalih mengenai perkata itu dengan memberi alasan pengambil alihan tanah di Kampung Baru memerlukan kesemua pemiliknya bersetuju untuk menjual.

Johari berkata demikian bagi menjawab kenyataan Khalid berhubung kemampuan kerajaan PH untuk membiayai tawaran pengambil alihan tanah Kampung Baru yang dianggarkan bernilai RM10 bilion.

Terdahulu, Khalid berkata, tawaran pampasan sebanyak RM1,000 sekaki persegi untuk mengambil alih 230 ekar tanah di Kampung Baru sudah dilaporkan dalam kabinet, malah telah diumumkan secara terbuka.

Khalid turut mendakwa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) merupakan antara agensi yang bersetuju membiayai transaksi itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here