KERAJAAN Selangor mengisytiharkan 18 November depan sebagai cuti umum bagi memudahkan pengundi untuk pulang mengundi di kampung halaman masing-masing.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata cuti umum itu melibatkan sektor kerajaan dan swasta adalah sehari sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, Selangor mempunyai bilangan pengundi paling ramai di Malaysia iaitu seramai 3.67 juta selain terdapat juga mereka yang bekerja dan bermastautin di negeri ini untuk pulang mengundi di kampung halaman mereka.
“Kerajaan negeri mempunyai kuasa mengisytiharkan hari pelepasan am berdasarkan Akta Hari Kelepasan 1961 (Akta 369).
“Pewartaan mengenainya akan dibuat pada Rabu depan selepas kita meluluskan dari segi undang-undang,” katanya.
Amiruddin berkata, beliau berharap Perdana Menteri dapat memberikan pelepasan yang sama kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Ini supaya seramai mungkin rakyat dapat menunaikan tanggungjawab dalam menentukan masa depan negara pada 19 November ini,” katanya. – Malaysiapost

