KERAJAAN Negeri Sembilan mengumumkan cuti umum pada 18 November ini iaitu sehari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik berkata cuti umum berkenaan adalah untuk menggalakkan rakyat membuat persiapan dan mengundi pada 19 November ini.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan yang bersidang pada hari ini bersetuju untuk memberikan cuti umum pada 18 November 2022 sehari sebelum PRU-15.
“Cuti umum ini adalah untuk menggalakkan rakyat Negeri Sembilan membuat persiapan dan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini
Sebelum itu, Kerajaan Selangor turut mengumumkan cuti umum pada 18 November ini bagi tujuan sama.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan dua hari iaitu pengundian awal pada 15 November dan hari mengundi 19 November ini.

