PH jamin tiada isu ayam, telur jika jadi kerajaan

0
2

PAKATAN Harapan (PH) memberi jaminan isu berkaitan ayam dan telur tidak akan berlaku sekiranya mereka berjaya menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penyandang dan calon Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata, PH telah mengenal pasti punca pelbagai isu yang melanda ayam dan telur di pasaran.

Malah katanya, PH mempunyai pengalaman menangani isu berkaitan ayam dan telur ketika menjadi kerajaan satu ketika dahulu.

“Pakatan Harapan yakin boleh mengatasi segala masalah ini jika dipilih membentuk kerajaan.

“Kami mempunyai track rekod yang baik semasa Pentadbiran Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub dan saya sebagai Timbalan Menteri. Menteri KPDNHEP Datuk Seri Saifuddin Nasution juga mempunyai trek rekod kejayaan mengawal harga barang.

“Jika dipilih, kami akan menggunakan kejayaan dan pengalaman kami untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan telur dan ayam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Sim berkata, kadar subsidi sentiasa berubah-ubah dan tidak menentu, menyebabkan penternak hilang keyakinan kepada sistem subsidi.

“Mereka juga menghadapi masalah menerima subsidi selepas berbulan-bulan menghantar permohonan.

“Pakatan Harapan bukan sembang kosong, sememangnya kejayaan kami terbukti. Selama 22 bulan pentadbiran PH, harga ayam kekal RM5.90 sekilo, Telur RM7.50 sepapan berbanding RM10 sekilo ayam dan RM 14.50 sepapan telur sekarang.

“Sepanjang 22 bulan semua bekalan makanan mencukupi, tidak pernah berlaku shortage,” katanya.

Semalam, Tan Sri Annuar Musa yang mengetuai Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi didakwa mengakui kegagalan usaha kerajaan mengatasi kekurangan bekalan telur di pasaran.

Sim berkata, selain Annuar pasukan khas itu dianggotai barisan menteri Kabinet termasuk, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Mereka mewakili semua parti BN-PN-GPS. Kegagalan pemimpin kanan kerajaan ini menunjukkan kegagalan semua parti-parti kerajaan sedia ada.

“Semoga pengundi dapat membezakan bahawa antara batu dan permata. Pemimpin Pakatan Harapan lebih berkesan mengurus kos sara hidup berbanding BN-PN-GPS,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here