KHAIRY Jamaluddin disifatkan layak menjadi Perdana Menteri pada masa depan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, sudah tentu Khairy perlu memenangi pilihan raya dan mendapat sokongan anggota parti terlebih dahulu sebelum dilantik memegang jawatan itu.
“Okay, memang doa untuk Khairy dan dia kata pun bukan sekarang, akan datang. Memang dia layak untuk menjadi Perdana Menteri akan datang.
“Kalau kita menang pilihan raya, dapat sokongan daripada parti, tentu sahaja Khairy antara seorang yang layak untuk menjadi Perdana Menteri suatu masa nanti,” katanya memetik Berita Harian.
Ismail Sabri ditemui media selepas Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Parlimen Ayer Hitam di Taman Suria, hari ini.
Beliau mengulas hasrat Khairy yang ingin memimpin Umno suatu hari nanti dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.
Khairy ketika berucap di pentas ceramah di Sungai Buloh malam tadi menyatakan hasrat tersebut secara terbuka.
Ia bertujuan meraih sokongan pengundi di Parlimen Sungai Buloh ditandinginya untuk memberinya mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – Malaysiapost

