TIDAK sampai beberapa jam rumahnya terbakar, Fatimah Dayeh, sekali lagi diuji apabila suaminya, Mohd Zaidi Saman, disahkan meninggal dunia akibat serangan asma di Hospital Gerik.
Ujian berganda itu mengundang simpati calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Gerik, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang meluangkan masa menziarahi keluarga berkenaan di Kampung Pahat Luar, pagi tadi.
Asyraf Wajdi bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Temengor, Salbiah Mohamed bertanya khabar selain mendengar kisah sedih keluarga Fatimah yang rumahnya terbakar dipercayai akibat litar pintas pada jam 3.30 pagi.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Pagi ini saya bersama-sama Salbiah melawat keluarga mak cik Fatimah yang ditimpa musibah kebakaran akibat litar pintas awal pagi tadi.
“Lebih hiba dan bertambah dukacita, tidak sampai beberapa jam selepas insiden yang berlaku, dikejutkan dengan khabar suaminya Mohd Zaidi telah kembali ke rahmatullah akibat serangan asma di Hospital Gerik pada jam 8 pagi tadi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan semoga keluarga Fatimah dikurniakan kesabaran menghadapi ujian .
“Salam takziah buat Allahyarham dan keluarga. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang yang beriman. Alfatihah.
“Semoga Allah kurniakan kesabaran atas segala dugaan ini dan permudahkan segala urusan mangsa dan seluruh ahli keluarga,” katanya. – Malaysiapost

