Takwin persekolahan mula Januari jika PH menang – Maszlee

0
2

PAKATAN Harapan (PH) akan mengembalikan sesi persekolahan bermula Januari jika gabungan itu diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jaminan itu diberikan bekas Menteri Pendidikan ketika pentadbiran 22 bulan PH, Dr Maszlee Malik menerusi satu video yang dimuatnaik di TikTok hari ini.

Menurut Maszlee yang juga calon PH bagi kerusi Parlimen Simpang Renggam, pertukaran takwin persekolahan bermula Januari bukan sahaja akan melegakan ibu bapa, malah murid serta guru.

“Saya ditanya mengenai jadual persekolahan yang bercelaru, mula Mac walaupun kita telah melalui pasca Covid-19 dah setahun.

“Jadi tekad kita PH, kita kembali ke KPM, kita akan kembalikan jadual seperti asal supaya mak ayah tak pening kepala, cikgu tak serabut dan anak-anak tak kelam kabut.

“Itu tekad kita,” kata Maszlee dalam video tersebut.

Pada Ogos lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata takwim persekolahan 2023 yang dijadual bermula pada Mac kekal selepas mengambil kira pelbagai faktor.

Beliau berkata, pelbagai faktor diambil kira dalam penyediaan takwim persekolahan termasuk kebarangkalian banjir di pantai timur pada hujung tahun susulan Monsun Timur Laut dan sela masa yang panjang selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelajar melanjutkan pengajian.

Pada tahun sebelumnya, sesi persekolahan bermula pada Mac selepas KPM mengambil kira ramai murid dan pelajar keciciran berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Radzi, ia membolehkan murid dan pelajar mengulangkaji semula sukatan pelajaran yang tertinggal secara bersemuka dengan guru di sekolah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here