
KETUA Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari secara sinis mengakui ‘kagum’ dengan kemahiran berbohong yang dimiliki Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Ahmad Fadhli berkata demikian susulan pendedahan Rafizi berhubung skandal projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa mempunyai kaitan dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pasir Mas itu berkata, beliau mencabar Rafizi supaya mendedahkan dokumen yang ditandatangani atau sebarang arahan yang dikeluarkan Tuan Ibrahim berhubung perkara itu.
“Jika beliau benar (Rafizi) dalam dakwaan itu, dedahkan teruslah mana tandatangan menteri berkenaan? Atau di mana arahan Menteri berkenaan dikeluarkan?
“Nak suruh lapor ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memang daripada dulu lagi beliau tidak pandai guna ‘Waze’ ke pejabat SPRM,” sindirnya.
Ahmad Fadhli berkata, malah Tuan Ibrahim sudah menyatakan bahwa beliau tidak menandatangani apa-apa dokumen tender selepas Parlimen dibubarkan selaras arahan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Ahmad Fadhli berkata, Rafizi dilihat sering membuat dakwaan tidak berasas terhadap parti itu, namun tidak ada satu pun tuduhan berkenaan terbukti.
“Saya hairan sebenarnya dengan beliau. Dulu, beliau pernah membuat dakwaan dengan begitu yakin bahawa akan didedahkan pemimpin penting PAS yang menerima wang daripada 1MDB.
“Akhirnya yang didedahkan hanyalah bekas pemimpin PAS yang sudah lama tidak berada dalam line-up pemimpin parti sejak tahun 2011.
“Beberapa ketika lepas, dengan yakinnya beliau berceramah di atas pentas (dakwa) ‘PAS dah tak berani buat ceramah besar’. Peliknya masa tu PAS dalam siri mengadakan himpunan-himpunan besar di seluruh negara,” katanya.
Ahmad Fadhli secara sinis mendakwa, Rafizi tidak menyedari bahawa beliau mempunyai kemahiran berbohong tahap tinggi.
“Saya kagum dengan beliau, daripada mana beliau dapat kemahiran berbohong sebegini? Di gua manakah? atau laut mana?,” soalnya.
Terdahulu, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, beliau tidak pernah meluluskan sebarang projek di bawah kementerian itu sejak Parlimen dibubarkan.
Beliau turut menegaskan tidak pernah meluluskan sebarang projek baharu dalm tempoh kerajaan sementara.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan Rafizi berhubung status kelulusan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion. – Malaysiapost
