PERIKATAN Nasional (PN) perlu menang dengan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi memboleh persempadanan pilihan raya di beberapa negeri dapat dilakukan, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Timbalan Presiden PN itu berkata, Kelantan, Terengganu dan Kedah mempunyai banyak kawasan yang mana kerusi Parlimen melebihi 100,000 pengundi.
Menurutnya, disebabkan itu PAS perlu bekerjasama dengan Bersatu dan Umno untuk memenangi majoriti dua pertiga, namun malangnya Umno meletakkan syarat yang tidak boleh diterima PAS.
“Cukup majoriti dua pertiga kita boleh pinda kawasan pilihan raya kerana kawasan pilihan raya ni dah mengarut, di Kelantan, Terengganu dan Kedah satu Parlimen ada 100,000.
“Tumpat 140,000 pengundi. Ada pengundi Perak, Johor, Selangor satu tempat pengundi 40,000 dan 30,000 dia banyakkan kerusi dan campur pengundi bukan Islam kerana pada pandangan dia cina India sokong dia selama-lamanya.
“Ini berlaku di Sabah, Sarawak satu Parlimen 10,000. Kelantan, Terengganu, Kedah 100,000. Rakyat ramai dan kerusi sikit kurang jumlah (kerusi) kita kena baiki dan nak baiki (jumlah kerusi) kena dapat dua pertiga,” katanya ketika berucap di Bachok, semalam.
Mengulas berkenaan syarat diletakkan Umno, Abdul Hadi berkata parti itu mahu PAS meninggalkan Bersatu jika mahu bekerjasama bagi menghadapi PRU15.
Bagaimanapun, katanya, PAS menolak kerana beranggapan tiga parti berkenaan perlu sepakat jika ingin memenangi PRU15 dengan majoriti dua pertiga.
“Kalau hendak menang dua pertiga mesti gabung PAS, Umno, Bersatu termasuk Sarawak dan lain-lain barulah cukup dua pertiga.
“Dia (Umno) kata kami tak boleh terima Bersatu…Dan dia beri amaran PAS kena putus (tinggalkan) dengan Bersatu,” katanya.
PN gabungan parti politik Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). – Malaysiapost

