KERAJAAN Kedah akan teruskan usaha mendapatkan kebenaran untuk mengeksport daun ketum ke Thailand secara sah bagi meningkatkan ekonomi rakyat di negeri itu.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ia mampu menjadi realiti sekiranya rakyat memberi kepercayaan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“InsyaAllah, Perdana Menteri kita yang ke-10 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) nanti akan mengusahakan sesuatu untuk penanam-penanam ketum, kita akan usaha sampai jadi,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran PN Best dan Manifesto PN Negeri Kedah, malam tadi.
Dalam nada berseloroh, Sanusi yakin jika daun ketum dibenarkan dieksport ramai penduduk di Kedah boleh menjadi jutawan.
“Saya yakin hal ini akan dipertimbangkan. (Kerajaan) Dekat-dekat nak bagi dah hari tu, bubar pulak dah. Kalau tidak, (orang) di Pendang ini jutawan semua.
“Kalau seludup ke Siam (Thailand) boleh dapat RM150, sebab itu saya kata kena benarkan eksport ketum,” katanya.
Menurutnya, sekiranya kerajaan membenarkan aktiviti eksport daun ketum segar, ia mampu mengekang penyeludupan tumbuhan itu, selain disalah guna oleh masyarakat.
“Kalau tak benarkan itulah yang rebus di rumah orang beli sampai jadi hitam kulit (minum), lepas tu kepala pening. kita tak mahu orang kita ‘rosak’.
“Apabila kita eksport ke sana mereka (Thailand) akan proses jadi ubat, minuman berkhasiat dan pelbagai teknologi lagi ada untuk tujuan kesihatan,” katanya. – Malaysiapost

