MIC hari ini membuat laporan polis terhadap P Prabakaran, susulan kenyataan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Batu itu yang mendakwa ditawarkan RM10 juta sebagai habuan untuk lompat parti.
Laporan itu dibuat Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Datuk S Rajah, di Balai Polis Sentul.
Difahamkan, kenyataan itu dibuat Prabakaran dalam satu ceramah baru-baru ini sebelum ia tular selepas satu video berdurasi 35 saat terbabit dimuat naik menerusi aplikasi TikTok menerusi akaun @keadilancabangbatu.
Rajah memaklumkan beliau menerima satu video ceramah Prabakaran itu menerusi WhatsApp kira-kira jam 2 petang, semalam.
“Dalam video ceramah Prabakaran di satu lokasi baru-baru ini, dia menyatakan pernah menerima tawaran RM10 juta daripada MIC supaya lompat parti, namun menolaknya konon kerana tidak mahu mengkhianati pengundi Batu.
“Saya ingin tegaskan bahawa tidak ada individu daripada MIC yang menawarkan wang untuk dia lompat parti. Tohmahan dilemparkan ini amat tidak masuk akal,” katanya.
Rajah berkata, dakwaan dilemparkan Prabakaran yang juga penyandang kerusi Parlimen itu dilihat sebagai tindakan untuk meraih undi simpati daripada pengundi.
Bagaimanapun, Rajah sedia bertolak ansur sekiranya Prabakaran menarik balik kenyataan terbabit dan mengemukakan permohonan maaf.
“Kita ada ruang untuk budi bicara, jika dia tarik balik kenyataan dan meminta maaf secara profesional, kita akan tarik balik laporan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan menerima laporan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

