4 lagi jemaah kumpulan tarekat selamat pulang ke tanah air

0
1

SERAMAI empat lagi jemaah umrah warga Malaysia daripada kumpulan tarekat yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu selamat tiba di tanah air pagi semalam.

Kementerian Luar menerusi kenyataan di laman sosial, berkata manakala baki 23 orang lagi dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

Menurut Wisma Putra, pesawat komersial membawa kumpulan kedua ini mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 8.59 pagi.

Sebelum ini, kumpulan pertama seramai 36 orang sudah tiba di KLIA pada 4 November lalu dengan Malaysia Airlines penerbangan MH153 dari Madinah.

“Dengan ketibaan dua kumpulan ini, baki jemaah yang masih berada di Arab Saudi seramai 23 orang akan dibawa balik melalui penerbangan seterusnya secara berperingkat,” katanya.

Media melaporkan Wisma Putra menyelaraskan usaha penghantaran balik kumpulan jemaah dari satu gerakan tarekat berpusat di Negeri Sembilan susulan pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengenai amalan pelik mereka yang dipimpin oleh Habib Shah Firdaus Ahmad.

Kumpulan itu terdiri daripada masing-masing 28 orang dewasa dan 35 orang kanak-kanak itu merupakan pengikut kumpulan Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah yang tiba di sana Mac lalu.

Gerakan tersebut dipercayai merancang untuk menunggu kemunculan Imam Mahdi di Arafah pada hari wukuf lalu, namun hampa apabila langsung tidak pernah pun dibawa ke Mekah.

Ketua tarekat gerakan sesat tersebut diusir keluar pihak kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lepas susulan daripada pelanggaran undang-undang tempatan berkaitan visa. – Malaysiapost

Kredit foto: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here