PENYANYI Zamani Slam selamat menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, petang tadi.
Khabar gembira tersebut dikongsikan isterinya, Nur Juliana Abd Rani menerusi perkongsian dalam Instagram hari ini.
“Syukur Alhamdulillah. Dengan izin Allah Abang Zamani selamat menjalani pembedahan sebentar tadi. Terima kasih atas doa-doa buat Abang Zamani,” tulisnya.
Juliana turut menyertakan gambar bilik pembedahan vokalis Slam itu menjalani prosedur berkenaan.
Difahamkan prosedur pembedahan tersebut memakan masa lebih lima jam seperti yang dimaklumkan pakar perubatan.
Terdahulu, penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu meminta peminat mendoakan kelancaran pembedahan membabitkan bahagian tunjang yang agak kritikal.
Menurutnya, tempoh pemulihan akan mengambil masa antara dua hingga enam minggu.
Malah dia turut memerlukan tempoh selama tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum boleh aktif menyanyi semula.
Zamani mula menghadapi masalah tulang belakang membengkok sejak 2015 dan keadaannya semakin teruk apabila tidak boleh berdiri tegak. – Malaysiapost

