CALON Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi kerusi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak, Bawani KS mengisytiharkan aset bersihnya bernilai RM992.50.
Timbalan Setiausaha Agung PSM yang juga aktivis pelajar itu membuat pengisytiharan berkenaan secara langsung di Facebook PSM, hari ini.
Bawani yang masih bujang dan tinggal bersama ibunya, mengisytiharkan aset bersih itu selepas ditolak hutang berjumlah RM47,570.90 daripada jumlah aset bernilai RM48,563.40.
Bawani berkata berdasarkan pecahan aset dia memiliki Proton Bezza bernilai RM29,000 dan telefon bimbit Oppo Reno 5 Pro bernilai RM2,100.
Selain itu, bekas mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu juga mempunyai simpanan sebanyak RM17,463.40 di dalam bank.
Bawani juga mempunyai baki pinjaman kereta berjumlah RM27,320.90 dan pinjaman pendidikan berjumlah RM20,250, dengan jumlah keseluruhan RM47,570.90 lagi untuk dibayar.
Bawani turut mengisytiharkan gaji bulanannya sebagai peguam sebanyak RM5,000 dan jumlah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerjar (KWSP) sehingga 1 November 2022 ialah sebanyak RM12,189.41
“Ini sangat penting untuk calon lain, bekas ahli parlimen dan wakil rakyat akan datang untuk mengisytiharkan aset dan untuk orang ramai tahu berapa banyak aset yang mereka ada.
“Dengan mengisytiharkan harta kita, ketelusan calon boleh diterjemahkan. Kemudian, kita boleh wujudkan calon dan wakil rakyat yang bersih,” katanya.
Pada PRU kali ini, DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan Bawani, Ishsam Shahruddin (Barisan Nasional), Mohd Nazri Hashim (Pakatan Harapan), Muhammad Noor Farid Zainal (Perikatan Nasional) dan Maziah Salim (Gerakan Tanah Air).

