GERAKAN Tanah Air (GTA) tidak bercadang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) ataupun Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan parti itu hanya mahu menjalin kerjasama dengan parti berpendirian sama, selain menolak mana-mana pemimpin atau parti terpalit isu rasuah.
Beliau bagaimanapun berkata, GTA akan mempertimbangkan cadangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berminat bersama-sama membentuk kerajaan Sabah selepas PRU15.
“Kerjasama kita kena pilih (pemimpin dan parti)…mungkin (kerjasama) semua mungkin, cuma tidak mungkin kita berkerjasama dengan BN, PN dan PH,” katanya lapor Bernama.
GTA merupakan pakatan Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) serta gabungan badan bukan kerajaan yang membentuk Gagasan Bangsa (GB).
Pada PRU15, calon GTA bertanding menggunakan logo Pejuang kecuali di Kelantan yang menggunakan logo Putra.
GRS pula dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang menjalin kerjasama dengan BN bagi mentadbir negeri itu.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, pemimpin di Sabah tidak boleh mengehadkan pergerakan mereka hanya di Negeri di Bawah Bayu itu sekiranya bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, Perlembagaan Malaysia tidak mengehadkan individu dari mana-mana kawasan di negara ini untuk menjadi Perdana Menteri, namun individu itu perlu mendapatkan sokongan untuk memegang jawatan berkenaan.
“Orang Sabah pun layak jadi Perdana Menteri, masalahnya populariti sama ada dapat sokongan atau tidak, kita harap mereka datang ke Semenanjung juga Sarawak, supaya mereka boleh dikenali,” katanya.- Malaysiapost

