Rafizi kata kejutan besar, Tok Mat tak hirau tekad kerja kuat

0
2
tokmat

CALON Barisan Nasional (BN) di Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menghiraukan dakwaan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli bahawa beliau akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini. 

Sebaliknya, beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, dakwaan Rafizi itu akan melipat gandakan usaha beliau untuk memastikan Parlimen Rembau kekal menjadi milik BN pada PRU15 ini. 

Katanya, Rafizi boleh berkata apa saja mengenai kedudukan Rembau dan Negeri Sembilan pada PRU15.

 “Tak apalah, saya akan kerja kuat lagi untuk meyakinkan pengundi Rembau, kalau itu kata dia sebab dia lebih tahu tentang kawasan saya,” kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Saya jaga kawasan saya dan tidak hirau sesiapa. Kalau dia (Rafizi) kata saya dalam keadaan yang susah, saya kena kerja kuat lagi, saya ambil itu sebagai suatu cabaran,” katanya.

Beliau ditemui media pada majlis bersama penduduk Kuala Sawah, di Dewan Persatuan Penduduk Kuala Sawah, Rantau, Seremban, hari ini.

Semalam, dalam satu ceramah kempen PRU15, Rafizi mendakwa PH mendahului di Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan dan satu kejutan besar akan berlaku di Negeri Sembilan.

“Daripada gaya sekarang, Negeri Sembilan sedang mendahului. Kalau ada kejutan besar, ia akan datang dari Negeri Sembilan…maka Tok Mat (Calon BN di Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan) hati-hati kerana Rembau tidak selamat.)

“…Tok Mat (akan) kalah nanti di Rembau, kerana kita nampak ada peningkatan yang baik (dalam) sokongan untuk PH di Negeri Sembilan, lebih baik berbanding PRU14,” kata Rafizi. 

Mohamad akan berdepan saingan lima penjuru membabitkan Mohd Nazree Mohd Yunus dari Perikatan Nasional (PN), Ramly Awaluddin (PEJUANG), Jufitri Johar (PH) dan S Tinagaran (PSM).

Penyandang kerusi Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin tidak mempertahankan kerusi itu, bertanding di Parlimen Sungai Buloh pada PRU15 ini. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here