BARISAN Nasional (BN) menggariskan 10 teras dan 99 tawaran dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan dilancarkan esok
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, manifesto BN merangkumi keperluan pelbagai golongan masyarakat terutamanya kumpulan B40 dan M40 selain tidak dilupakan golongan T20.
Katanya, manifesto BN menawarkan kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang stabil, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta pendidikan.
“Kita mahu soal kesejahteraan rakyat diberikan keutamaan, jadi kita harus menentukan langkah-langkah untuk menentukan bahawa ia tidak akan memberi kemudaratan yang berat kepada rakyat.
“Di samping itu, kita juga mahu terus menggamit pelaburan langsung asing (FDI), pelaburan langsung domestik (DDI) supaya pelabur boleh melabur semula bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan nilai eksport,” katanya.
Ahmad Zahid yang merupakan penyandang Parlimen Bagan Datuk berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas melawat pusat daerah mengundi (PDM) Kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk, hari ini.
Menurutnya, pengumuman pelancaran manifesto BN akan dilakukan secara langsung menerusi media sosial, selain pengedaran bahan bercetak di setiap PDM di seluruh negara.– Malaysiapost

