Zuraida ‘meraikan’ pertembungan 9 penjuru di Ampang

0
1

PENYANDANG dan calon Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin mengakui beliau ‘meraikan’ pertembungan sembilan penjuru untuk merebut kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau yang bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM) berkata, rekod tiga penggal sebagai wakil rakyat di Ampang memberi keyakinan kepadanya untuk sekali lagi dapat memikat hati pengundi di situ.

“Pertembungan kali ini paling banyak, dahulu dua tiga sahaja termasuk PRU14, menyaksikan pertembungan empat penjuru. Saya terbuka dan mahu rakyat menjadi matang (memilih pemimpin untuk diberikan mandat),” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang, hari ini.

Mengulas lanjut Zuraida berkata, demokrasi sudah matang dalam negara dengan lebih ramai calon bertanding dalam pilihan raya termasuk calon wanita dan orang muda.

“Saya terbuka, Alhamdulillah dan saya sangat gembira kerana belum pernah Parlimen Ampang ramai seperti ini.

“Saya mengalu-alukan calon wanita dan ada juga orang muda. Ini satu senario politik baharu di mana orang muda dan wanita mahu ke hadapan. Ini sesuatu yang baik untuk negara,” katanya.

Terdahulu, dalam penamaan calon bagi Parlimen Ampang pada PRU15 menyaksikan persaingan sengit, sembilan penjuru termasuk tiga calon bebas.

Zuraida dicabar Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN), Rodziah Ismail (PH), Sasha Lyna Abdul Latif (PN) dan Nurul Ashikin Mabahwi (GTA).

Turut bertanding, Lai Wai Chong (WARISAN) dan tiga calon bebas, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng serta M Raveendran.

Pada PRU14, Zuraida yang ketika itu Naib Presiden PKR, berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Ampang dengan majoriti 41,956 undi dalam saingan empat penjuru. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here