UMNO memutuskan untuk memecat secara automatik ahlinya yang menjadi calon kepada parti lawan semasa penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata turut dipecat ahli-ahli yang menjadi pencadang dan penyokong kepada calon parti lawan.
“Keahlian mereka di dalam Umno dengan ini tergugur secara automatik sesuai dengan Fasal 20.11 Perlembagaan Umno.
“Ingin ditegaskan, berdasarkan Fasal 20.11 ini, Umno akan memantau secara berterusan sekiranya terdapat mana-mana ahli yang terlibat dengan aktiviti menyokong calon parti lawan, sepanjang tempoh kempen PRU15 dan tindakan memecat keahlian mereka akan diambil serta-merta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Maslan menegaskan, Umno tidak akan bertolak ansur terhadap tindakan-tindakan khianat oleh mana-mana ahlinya.
Katanya, Umno telah meneliti senarai calon-calon yang telah mengemukakan pencalonan dan diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyertai PRU15.
Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, terdapat ahli Umno yang menjadi calon, pencadang dan penyokong kepada parti lawan.
Antara pemimpin Umno yang bertanding atas tiket parti lain ialah Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau); Datuk Zahidi Zainul Abidin (Bebas-Padang Besar) serta Datuk Ismail Abdul Mutalib (PN-Maran). – Malaysiapost

