BEKAS Naib Presiden PKR, Tian Chua dipecat serta merta daripada parti itu susulan tindakannya bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana ahli PKR yang bertanding Bebas secara automatik dipecat keahlian.
“Malangnya (Tian Chua) memilih jalan ini (tanding Bebas). Beliau seorang yang bersemangat dan seorang reformis yang sangat berdedikasi.
“Saya tidak fikir tindakan ini yang perlu seorang reformis lakukan, apa pun kami sudah mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya selepas selesai proses penamaan calon Parlimen Tambun di Dewan Seri Kledang Institut Latihan Perindustrian Ipoh.
Beliau mengulas tindakan Tian Chua yang juga bekas Ahli Parlimen Batu bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi itu.
Terdahulu, Tian Chua yang tidak dicalonkan semula oleh PKR tiba di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama, pada jam 8.30 pagi sambil diiringi oleh penyokongnya yang berpakaian putih.
Ia sekali gus menyaksikan Tian Chua akan berlawan sesama ahli PKR yang juga penyandang kerusi Parlimen Batu, P Prabakaran.
Pada PRU14, Tian Chua hilang kelayakan untuk mempertahankan Parlimen Batu apabila pegawai pengurus pilihan raya membatalkan kertas pencalonannya. – Malaysiapost

