Sokongan jentera PN dahsyat – Shahidan

0
1

MESKIPUN bukan lagi bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan sokongan yang diterimanya daripada penyokong Perikatan Nasional (PN) amat luar biasa.

Penyandang kerusi Parlimen Arau itu sebelum ini digugurkan BN sebagai calon bertanding di Parlimen berkenaan, akhirnya memilih PN untuk meneruskan ‘survival’ mempertahankan Arau yang dimenanginya sejak 2013.

“Saya sangat terharu dengan sokongan dasyat yang ditunjukkan oleh jentera PN dan juga penyokong-penyokong saya di Arau. Ini memberi saya semangat untuk terus berjuang,” katanya di Facebook, hari ini.

Shahidan akan berhadapan saingan tiga penjuru yang akan ditentang ‘anak didiknya’ Datuk Rozabil Abdul Rahman (BN) dan Fathin Amelina Fazlie (PH).

Selepas tempoh masa penyerahan borang bertanding tamat, kelibat calon Parti Pejuang, Abdul Razak Abdul Khalek tidak kelihatan di pusat penamaan calon yang diadakan di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, hari ini.

Shahidan sebelum ini mengecam Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi dalang beliau dinafikan hak bertanding di Parlimen Arau pada PRU15 ini.

Beliau mendakwa Ahmad Zahid mungkir janji sekali gus melanggar persetujuan ‘top five’ Umno, memilih calon boleh menang bertanding pada pilihan raya umum kali ini. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here